Isnin, 25 Oktober 2010

SEJARAH MATAPELAJARAN TERAS KSSR 2014


Drama, lawatan elemen pembelajaran diperkenal 2014 elak murid bosan

AYER KEROH: Sejarah yang menjadi mata pelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014 akan menerapkan unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan bagi memastikan murid memahami serta menghayati sejarah negara secara mendalam.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengenalan mata pelajaran Sejarah akan menggunakan konsep ‘pendidikan itu menyeronokkan’ membabitkan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama.

Katanya, semua aspek yang akan digunakan itu amat sesuai bagi mengelakkan murid sekolah rendah bosan ketika menghadapi pelajaran serta dapat meningkatkan tahap pembelajaran di sekolah.

“Kementerian akan memastikan mata pelajaran Sejarah tidak diajar sehingga membosankan murid dan oleh sebab itulah pendekatan kerja sampingan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama diperkenalkan.

“Elemen sejarah yang diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini kurang menerapkan ketiga-tiga unsur terbabit. Jadi, kita mahu menekankan perkara ini supaya mata pelajaran Sejarah dapat dihayati dan difahami oleh semua golongan masyarakat, terutama generasi muda,” katanya selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Ke-22 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin, dan Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, mata pelajaran Sejarah perlu untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan anak bangsa, selain memastikan mereka memahami asal usul supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan apabila dewasa kelak.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah berasaskan kepada kehendak rakyat sendiri yang melihat aspek sejarah itu amat penting.

“Pembelajaran mata pelajaran itu dari awal pasti memberi impak positif yang memudahkan setiap rakyat menerima diri masing-masing atas paksi di bumi nyata. Pendidikan sejarah amat penting dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Sementara itu menjelaskan lanjut berhubung pelaksanaan Sejarah bagai mata pelajaran teras dalam KSSR, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, selain Perlembagaan, murid juga akan didedahkan kepada peristiwa penting tanah air seperti kemerdekaan, mengenali tokoh tempatan dan latar belakang masyarakat di negara ini menerusi mata pelajaran itu.

“Bagaimanapun, kurikulum subjek ini di sekolah rendah akan lebih menjurus kepada sukatan asas serta mudah, dan bukan fakta berat seperti pada peringkat sekolah menengah.

“Kementerian akan membuat penyusunan supaya tidak berlaku pertindihan kurikulum antara mata pelajaran Sejarah dan Kajian Tempatan kelak. Namun, penentuan sama ada mata pelajaran teras ini dilaksanakan mulai Tahun Satu atau Tahun Empat masih dalam perbincangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Alimuddin berkata, langkah melaksanakan Sejarah sebagai mata pelajaran teras di sekolah rendah juga akan membantu persediaan murid selari keputusan Kementerian Pelajaran untuk menjadikannya subjek wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Dalam konteks ini, beliau berkata, persediaan akan dilakukan untuk membantu guru melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik supaya pelajar mampu menghayati serta menguasai subjek teras itu dengan berkesan bagi menghadapi peperiksaan SPM.

“Keputusan itu (wajib lulus Sejarah dalam SPM) bukan semata-mata disebabkan timbulnya pelbagai isu (berkaitan) kebelakangan ini, tetapi kerana pengetahuan Sejarah amat penting untuk melahirkan warga bertanggungjawab, ada jati diri dan bersatu padu,” katanya.

Petikan Berita Harian : 25 oktober 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...