Tn. Hj. Abdul Shukor Hj Ujang dan YB Dato Johan Abdul Aziz (duduk ditengah)
bersama AhliJawatankuasa Permuafakatan 3K Daerah Hulu Langat
bersama AhliJawatankuasa Permuafakatan 3K Daerah Hulu Langat
sebelum menghadiri mesyuarat kali ke 3 badan itu di SK Bandar Tasik Kesuma,
Beranang, kelmarin.
SEMENYIH 17 Feb. - Kepayahan penduduk sekitar Semenyih menghadapi kesesakan jalan raya setiap hari bakal berakhir apabila penyelesaian kepada masalah itu akan dibincangkan tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, ini kerana masalah itu telah dibawa ke pengetahuan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Katanya, kesesakan jalan raya melibatkan Jalan Beranang ke Semenyih dan Kajang pada waktu puncak antara pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi masih berlaku.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan masa yang diambil oleh pengguna jalan berkenaan untuk ke tempat kerja adalah antara 45 minit hingga satu jam.
"Keadaan itu menjadi rungutan penduduk sekitar dan pengguna jalan itu sejak sekian lama. Mereka mahukan pihak berkuasa menangani masalah ini yang kian meruncing terutama pada waktu pagi.
"Masalah ini telah dibawa ke Kementerian Kerja Raya dan Datuk Shaziman akan membuat perbincangan untuk penyelesaian dalam sedikit masa lagi.
"Datuk Shaziman merayu supaya masyarakat khususnya penduduk setempat dan pengguna jalan raya supaya bersabar untuk sementara waktu lagi sementara kementeriannya mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut," kata Johan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui sebelum merasmikan Mesyuarat Permuafakatan 3K (Keselamatan, Kebersihan dan Kesihatan) Daerah Hulu Langat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini semalam.
Beliau menjelaskan, pihaknya telah mengenal pasti beberapa punca yang menyumbang kepada keadaan itu.
Ujarnya, penyumbang utama kepada kesesakan di situ ialah jalan yang sempit sepanjang laluan dari Beranang, Semenyih ke Kajang.
Selain itu, katanya, pemindahan Ibu Pejabat Pasukan Gerak Am (PGA) daerah Cheras ke Bandar Rinching serta pertambahan jumlah kenderaan dari semasa ke semasa turut menjadi faktor.
Sementara itu, mesyuarat 3K berkenaan adalah atas usaha bersama SK Bandar Tasik Kesuma dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma.
Mesyuarat kali ketiga itu dihadiri oleh 20 wakil agensi kerajaan dan swasta.
Pengetua SMK Bandar Tasik Kesuma, Abdul Gaffar Kunchi Mohd. berkata, antara objektif 3K itu diwujudkan adalah untuk mewujudkan iklim serta identiti sekolah sebagai institusi yang bersih, indah dan ceria.
"Selain itu, program ini diadakan bagi meningkatkan keprihatinan dan komitmen warga sekolah terhadap kebersihan, keindahan dan keceriaan serta menghargai kemudahan yang disediakan.
"Kami juga berharap program ini dapat mewujudkan budaya selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan keluarga dan komuniti setempat," ujarnya.
sumber : Utusan Malaysia 18 Februari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan