Sabtu, 20 November 2010

MEMANFAATKAN MUSIM CUTI SEKOLAH

Salam 1 Malaysia

Musim cuti sekolah telah tiba, mungkin ibu bapa dan keluarga telah merancang pelbagai aktiviti bersama keluarga, mungkin tidak. Walauapa pun,  ibu bapa yang ingin mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan mereka, sudah tentulah mempunyai suatu rancangan yang menarik bersama anak-anak mereka. Namun, masih ramai juga di antara kita yang sentiasa sibuk dengan tugas seharian kita. Terutama bagi ibu bapa yang bekerja, kesibukan ini menghalang mereka untuk meluangkan masa bersama anak-anak mereka di rumah.

Keluarga yang bahagia menjadi idaman orang yang akan berkeluarga dan yang sudah berkeluarga. Mereka mengidamkan agar hubungan kekeluargaan antara anak-anak dan ibu bapa menjadi sangat rapat dan erat. Segala masalah keluarga cuba dihadapi bersama. Mereka menginginkan  supaya kehidupan keluarga mereka sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dan suasana yang ceria.

Bagi anak-anak, mereka mengharapkan agar ibu bapa mereka akan sentiasa mempunyai masa untuk bersama dengan mereka supaya mereka dapat bermesra dan bersukaria bersama mereka. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang masih bersekolah, pada musim cuti sekolah ini, mereka mengharapkan agar ibu bapa mereka dapat meluangkan masa bersama-sama dengan mereka.

Justeru , sempena cuti sekolah ini, tambahan pula cuti hari Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan bagi ibu-bapa yang bekerja, luangkanlah masa cuti  ini untuk bersama-sama dengan anak-anak dengan pergi melancong dalam negeri. Lakukan aktiviti-aktiviti yang menarik dan dapat mengeratkan kasih sayang dan hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak.

Ibu bapa harus memberi perhatian penuh kepada pembesaran dan perkembangan anak-anak. Seperti kata pepatah yang berbunyi ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’, anak-anak perlu diasuh dan dibimbing sejak kecil lagi. Pengetahuan, pendidikan agama dan kasih sayang perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi dan pada musim cuti sekolah inilah masanya yang lebih sesuai untuk bersama dengan anak-anak.


Antara tips memanfaatkan musim cuti sekolah anak-anak :-

1.         Lakukan aktiviti bercorak keluarga seperti berjalan-jalan, jogging,
            berkebun, mengajar memasak dan bertukang kayu.

2.         Bawa keluarga melancong dalam negeri. Lawatlah tempat-tempat yang
            menarik di seluruh negara bersama anak-anak. Kalau anda kurang   mampu, bawalah 
            anak-anak berkelah ditepi pantai atau taman rekreasi.


3.        Bersukan atau bermain bersama anak-anak. Ajar anak-anak permainan  tradisional.

4.        Menonton bersama anak-anak. Apabila menonton televisyen bersama,   bincang 
           dengan anak-anak rancangan yang ditonton serta iklan-iklan yang  disiarkan.

5.         Makan bersama semua ahli keluarga. Ahli-ahli keluarga berpeluang menjalinkan
            kemesraan pada waktu makan.


6.         Kalau ada perpustakaan   awam yang berhampiran anda, bawalah anak- anak ke   
            sana dan tanamkan tabiat membaca

7.         Kalau anda mempunyai kemudahan internet di rumah, jelajahlah dunia maklumat
            bersama anak-anak.

8.         Menggalakkan anak-anak mengasah bakat mereka dengan menghadiri  kelas tarian,
            kelas vokal, kelas muzik dan kelas drama

9.         Menggalakkan anak-anak menghadiri aktiviti-aktiviti sihat seperti kelas bela diri,
            sukan dan permainan, kembara dan lawatan 


10.       Hantar anak-anak mengikuti program motivasi diri. Contohnya :-

            Program Motivasi Dato’ Dr. Fadhilah bin Hj. Kamsah  ( KLIK SINI )

            Kursus Motivasi Alihan Pelajar oleh Dr. Tengku Asmadi bin T. Mohamad
             ( KLIK SINI )

            Program Teknik Belajar dan Motivasi oleh Osman bin Affan ( KLIK SINI )


Nukilan : zurie34

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...