Rabu, 10 November 2010

PESANAN SEBELUM UPSR DIUMUMKAN

Assalamualaikum,

PADA 11 NOVEMBER 2010 ( KHAMIS ) pasti ada yang berduka, ada yang bersuka dan tidak kurang ada juga yang terlalu gembira tidak terkata. Bagi mereka yang memperoleh keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), tahniah kami ucapkan kepada yang berjaya. Usaha  anda selama ini dengan menghadiri kelas tambahan, kelas tiusysen, kem motivasi dan sebagainya  memberikan kejayaan kepada anda. Berterima kasihlah kepada guru-guru yang telah mendidik anda selama ini.


 Buat yang  gagal cuba lagi di peperiksaan mendatang. Jangan bersedih dan putus asa, mungkin usaha kita selama ini belum mencukupi. Mungkin ada hikmah disebalik kegagalan kita.

Gagal? Wujudkah ungkapan ini sebenarnya? Apakah kegagalan seseorang itu di dalam sesuatu peperiksaan itu sudah dikira menutup semua peluang mereka di masa hadapan?
UPSR bukanlah apa sangat, adik-adik. PMR ada, SPM pun ada lagi. Paling tidak pun, STPM juga sentiasa menanti. Banyak lagi peperiksaan yang bakal ditempuh. UPSR hanyalah langkah awal untuk adik-adik semua terus maju ke hadapan.


Tidak dinafikan bahawa ramai murid-murid yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, 5A di dalam UPSR akhirnya berjaya menjadi orang yang cemerlang pada hari ini. Namun, betapa jauh lebih ramai lagi anak-anak yang dulunya tidak cemerlang semasa di peringkat UPSR namun telah berjaya juga pada kerjaya mereka hari ini.

Manusia biasanya akan belajar daripada kegagalan dan kesilapan mereka. Tidak ditimpa kegagalan, kekadang manusia itu terlalu leka dengan deretan kesenangan dan kejayaan. Justeru kegagalan itu sendirinya perlu untuk difahami bahawa salah satu lorong untuk menuju ke mercu kejayaan.


Gagal dalam peperiksaan bukannya gagal dalam kehidupan. Sebab itu pelajar perlu belajar cara jatuh dengan cara:

o Terima hakikat tidak semua orang mampu dapat semua A
o Terima hakikat bakat dan kebolehan kita ada ditempat lain
o Ingat manusia hanya mampu berusaha keputusan tetap di tangan Tuhan
o Jadikan kegagalan itu sebagai ‘Stepping Stone’ bukannya ‘Stopping Stone’.
o Tanam azam untuk buat lebih baik dalam peperiksaan yang akan datang.
o  Gagal sebab tidak tahu teknik dan strategi peperiksaan peperiksaan. Pelajar perlu ikuti program Motivasi dan Kemahiran Belajar.


Justeru adik-adik, apapun keputusan yang diperoleh pada 11 November nanti, anggaplah ianya sebagai ujian dari Allah. Kejayaan itu sebenarnya adalah ujian dariNya untuk kita terus berjaya pada masa mendatang. Kegagalan pula adalah sengaja untuk melihat sejauh mana kita mampu bangkit pada ujian-ujian hidup yang seterusnya.



Nukilan : zurie34

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...